• Manusia, Anjing dan Cinta Yang Tersia

    Oleh : Lang Rahman



    Haram! Jijik! Dua perkataan yang akan terpacul keluar dari mulut rata-rata masyarakat kita terutamanya Melayu muslim apabila berhadapan dengan sejenis binatang ini yang juga makhluk ciptaan Allah iaitu anjing. Mungkin terlalu hina taraf binatang ini di mata masyarakat (Melayu) apatah lagi telah terdapat hadith yang menjelaskan bahawa binatang ini iaitu anjing adalah haram di sisi Islam. Sejauh mana masyarakat kita faham tentang pengharaman binatang tersebut terhadap penganut Islam? Apakah ‘haram’ bererti kita boleh menghina, menyiksa dan mendiskriminasikan binatang tersebut?

    Dalam pada masyarakat (Melayu) yang begitu menyisihkan anjing dan terikat ketat dengan dogma, masih ada insan-insan yang sangat prihatin malah meletakan nilai kemanusiaan sejati pada tempat yang ternyata mengundang perspeksi negatif masyarakat; membela nasib anjing yang tebiar. Penulis sendiri pada mulanya tidak menyangka bahawa wujud sebuah pusat perlindungan haiwan terbiar di negeri jelapang padi ini. Pak Mie Shelter, sebuah pusat perlindungan/rawatan binatang terbiar terutamanya anjing dan kucing yang bertempat di Tanjung Bendahara, Alor Setar ini dikelolai oleh pasangan suami-isteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Siapa sangka ada muslim Melayu yang sanggup buat kerja sebegini?

    Setelah banyak cerita mengenai Pak Mie Shelter yang keluar di media massa, penulis dan rakan-rakan rasa terpanggil untuk melihat sendiri dengan lebih dekat bagaimana pasangan warga emas ini menguruskan pusat perlindungan tersebut. Hari pertama kami melawat shelter tersebut mulut kami terkunci rapat, kelu untuk mengungkapkan kata-kata apa yang paling tepat bagi mengambarkan kesucian hati kedua pasangan suami-isteri itu. Hampir 500 ekor anjing dan 200 ekor kucing berada dalam jagaan mereka! Ma Sya Allah, rupa-rupanya masih ada insan yang berhati murni begini dalam kekalutan dunia yang dikelilingi kekejaman serta selut kotor politik yang semakin hari meranapkan nilai moral dalam diri manusia.

    Memelihara dan menjaga kucing mungkin sudah menjadi kebiasaan masyarakat Melayu kita namun apabila melibatkan binatang yang bernama anjing, perspeksi yang negatif mula dilontarkan. Berikutan itu, pemilik shelter ini yang dikenali sebagai Pak Mie dan Mak Intan sering disisihkan oleh masyarakat sekeliling yang memandang jelek dengan kerja mereka. Mindset masyarakat Melayu kita yang begitu kuat dengan adat resam berpendapat bahawa orang Melayu tidak boleh menjaga/memelihara anjing kerana ini bukan budaya kita. Ada juga yang berpendapat bahawa, memelihara anjing boleh menyebabkan malaikat rahmat tidak akan datang menjenguk orang tersebut. Memetik kata-kata Pak Mie sendiri; jika benar malaikat rahmat tidak datang mejenguk muslim yang memelihara anjing, bagaimana dia boleh mengurus makan-minum beratus-ratus ekor binatang tersebut walhal dia dan isterinya tidak bekerja, cuma menumpukan 100% komitmen terhadap pengurusan shelter tersebut? Sesungguhnya para malaikat adalah makhluk ciptaan Allah yang sangat hebat. Rahmat dan rezeki dari-Nya disalurkan melalui hati dan jiwa orang ramai yang prihatin, tampil menghulurkan sumbangan walaupun dia tidak pernah sesekali meminta atau merayu belas simpati.

    Sejak pertemuan pertama penulis dengan pemilik shelter, hati penulis telah tersentuh dan penulis terfikir bagaimanakah insan-insan mulia ini sanggup meninggalkan ‘kehidupan normal’ lantas bergelumang dengan beratus-ratus haiwan terbiar? Sanggup disisihkan masyarakat, sanggup mengorbankan wang ringgit semata-mata untuk menyelamatkan binatang. Genangan air mata penulis disembunyikan di sebalik kaca mata hitam apabila mendengar kisah pasangan warga emas tersebut dan melihat bagaimana mereka menjaga dan merawat haiwan-haiwan terbiar dengan tangan mereka sendiri tanpa ada sedikit pun rasa jijik mahupun jelek. Penulis sendiri akhirnya dapat memecahkan dogma yang melingkari diri penulis sebagai seorang Melayu muslim. Penulis juga tidak pernah menyangka dapat menggosok kepala dan ‘beramah’ dengan seekor German Shepherd yang saiz badannya sama besar dengan penulis. Anjing berbaka besar ini ditinggalkan oleh tuannya di Pak Mie Shelter atas sebab-sebab tertentu dan pemilik shelter menerimanya dengan hati yang terbuka.

    Apa yang penulis dapat lihat adalah, Pak Mie dan Mak Intan menjalankan kerja ini dengan rela dan hati yang terbuka tanpa mengharapkan simpati dari mana-mana pihak mahupun individu. Yang pasti, apa yang mereka lakukan tersebut bukanlah semata-mata untuk mendapat ‘nama’ atau menarik perhatian orang ramai. Penulis rasa, seorang jutawan belum tentu sanggup untuk menguruskan beratus-ratus ekor haiwan terbiar begini. Apa yang penulis mahu tekankan di sini adalah, bagaimana mahu meruntuhkan dogma serta pemikiran kolot masyarakat apabila berhadapan dengan isu sebegini? Apakah perlu memandang hina terhadap muslim yang memelihari anjing? Antara berlaku kejam dengan menolong haiwan-haiwan yang terbiar, yang manakah lebih baik? Jika berkisah soal haram memegang anjing, bagaimana pula dengan perilaku membaling batu, menyiksa atau membunuh binatang tersebut? Kita manusia punya akal untuk berfikir namun takut atau malas untuk berfikir di luar kotak dan cuma selesa berada dalam dinding dogma yang diciptakan oleh adat masyarakat itu sendiri.

    Masyarakat kita lebih memandang jijik andai seorang muslim memegang anjing daripada melihat pasangan remaja yang bukan mahram berpelukan di hadapan khalayak. Telah banyak kes pembuangan bayi yang rata-ratanya berlaku dikalangan anak muda Melayu muslim hasil dari perlakuan zina dan pergaulan tanpa batas. Mungkin berpelukan antara lelaki dan perempuan bukan mahram lebih ‘sedap’ di mata masyarakat berbanding seorang muslim yang memegang anjing walaupun perlakuan itu adalah untuk membantu haiwan-haiwan yang terbiar. Yang mana lebih haram? Dan persoalannya, haram memegang anjing itu boleh disucikan dengan melakukan samak tetapi bagaimana pula dengan haram bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram? Walaubagaimanapun, masyarakat kita tidak nampak semua ini. Anjing tetap jijik dan haram. Bersamak itu seolah-olah suatu perkara yang sukar walhal cuma perlukan tanah dan air mutlak (bersih). Islam itu indah dan mudah namun orang kita (Melayu) telah menjadikannya sukar dengan benteng adat serta dogma yang tebal.

    Penulis juga terfikir akan kata-kata Pak Mie tentang perbezaan perasaan binatang dan juga manusia. Bagaimana penerimaan serta kasih yang ditunjukan oleh anjing-anjing tersebut terhadap manusia yang merawat, menjaga dan memberi mereka makan. Dan kita manusia sudah tentu tidak akan terasa hati andaikata haiwan tersebut melupakan jasa kita kerana kita tahu ia adalah binatang yang tidak punya akal. Berbeza pula dengan kasih sayang dan cinta yang diberikan sesama manusia. Ada anak yang sanggup meninggalkan ibu dan bapa mereka di rumah kebajikan atas alasan sibuk bekerja. Ada kekasih yang sanggup memutus hubungan yang sudah terjalin kerana cinta lain. Ada pemerintah yang menindas dan melupai jasa rakyatnya sendiri setelah menang pilihanraya. Kita manusia yang punya hati serta perasaan sudah tentu berasa sedih, terkilan, marah dan sebagainya dengan perilaku manusia yang sama spesis dengan kita.

    Apakah binatang yang tidak berakal perlu dipersalahkan atas perlakuan manusia yang berotak pintar? Dengan mudah menafikan hak makhluk lain seperti binatang malah sesama manusia juga. Kita manusia terus angkuh melangkah di atas muka bumi yang diciptakan Tuhan untuk dikongsi bersama semua makhluk-Nya. Kita menjadi semakin tamak. Rasanya binatang lebih tahu bersyukur dan berdoa. Kerana manusia cuma tahu mensia-siakan cinta.







    klik link di bawah untuk melihat gambar-gambar lain


  • 1 comment:

    Like Facebook Kami Untuk Dapatkan Info Terbaru